16.02.2017 - Genap 14 tahun bekerja. Tahun 2003 dulu bila aku mula kerja di sini ramai yang pertikaikan termasuklah jiran-jiran yang tak bagi aku makan pun bila waktu susah. Hebatnya dugaan waktu itu hanya Allah sahajalah yang tahu. Kalau kau tidak kuat, kau boleh bunuh diri bila dengar mulut longkang orang sekeliling ni. Aku nak duduk bawah ketiak maklah, anak manjalah, mengada-ngadalah macam-macam lagilah. Tapi orang tidak tahu apa yang aku lalui. Syukurlah hatinya kental ada masa seperti robot tidak punya perasaan.
Sekarang selepas 14 tahun berlalu pun masih ada yang pertikaikan. Yalah aku duduk di kawasan kecil yang bila difikirkan peluang kerja pun adalah sangat terhad. Kau bawa kereta Honda jek pun orang pertikai kerja apa. Belum lagi nampak aku bawa BMW X5 bos aku, mesti buntang mata. Dulu aku naik motosikal Honda EX5 orang sibuk suruh beli kereta. Bila beli kereta orang tanya pula kerja apa. Banyak duit beli kereta. Senang kau dah sekarang ya. Yang dulu aku naik motosikal bila pergi balik kerja hari hujan basah lencun orang tak nampak aku punya susah. Itulah manusia. Suka jaga tepi kain orang. Belum lagi kisah mak bapak kawan-kawan yang dah berhijrah ke luar bercerita hebatnya anak masing-masing pada aku. Hebat anak mereka tapi kesian mereka pula macam orang tiada anak dah tua-tua pergi klinik jalan kaki tiada siapa yang meneman. Sadiskan? Sekurang-kurangnya aku dekat dengan Syurga aku. (Yiaahaa !! jangan dimula dengan bau syurga sebab kita manusia biasa yang tidak punya kuasa menghukum orang syurga atau neraka tempatnya)
14 tahun ini juga bermacam rasa dalam jiwa. Cabarannya sangat besar. Aku sendiri tidak pernah menyangka bertahan selama ini. Aku kerja apa? Aku pun tak tahu apa kerja sebenarnya aku ni. Segalanya aku buat. Pilih sahaja jawatan apa nak. Setiap hari akan ada perkara baru dan aku perlu belajar. Apa yang berlaku disekeliling inilah yang banyak mendewasakan dan sekolah terbaik buat diri aku. Dari kosong dan sekarang aku harus berbangga pada diri sendiri ( yalah sapa lagi nak puji).
Sampai bila nak makan gaji? Jujurnya sambil makan gaji aku sedang bina sesuatu untuk masa depan. Ya, agak letih bila segalanya di atas bahu sendiri. Doa yang baik-baik agar semuanya dipermudahkan. Aku juga punya impian. Tidaklah aku berangan nak bawa kereta dan parking valet dekat KLCC, cuma aku berangan nak ada sebuah syarikat yang aku uruskan sendiri jek. Ternyata kini telah termakbul. Hahaha.. kelakarkan? Pergi mereputlah dengan kelakar kau tu. Penat ke tidak? Ya, penat siang kau kerja makan gaji, habis waktu kerja kau buat kerja untuk syarikat sendiri kemudian kau sambung dengan kerja sambilan yang lain. Tetapi percayalah jika kau minat dan ikhlas dengan kerja kau, InsyaAllah perlahan-lahan ia menjadi mudah. Bohonglah kalau kata aku tidak pernah mengeluh. Bohonglah kalau semuanya indah belaka. Aku manusia biasa yang tidak punya apa-apa kuasa. Terima kasih untuk mereka-mereka yang banyak membantu dan mendorong aku untuk berani sahut cabaran. Anda tahulah siapa diri anda. Allah SWT sahaja yang membalasnya.
Oklah jangan melalut lagi. Sebenarnya aku nak bersihkan sawang blog aku jek pun. Setahun 1 entri. Jadilahkan. Tahun depan update lagi. Kbai.