Wednesday, January 26, 2011

Kita Mulakan Yang Baru

Sekian lama, aku biarkan blog ini bersawang. Masa perlu dicari. Kesibukkan bukan alasan sebenarnya. Setiap manusia mempunyai 24 jam sehari. Tapi itulah fitrahnya, kita tidak pernah sedar kita mempunyai 24 jam sehari.

Apa yang berlaku sebenarnya sehingga aku biarkan blog ini bersawang? Mengubat hati yang lara kerana putus cinta? Melaksanakan projek ribu-ribu? Di timbuni kerja yang tidak pernah habis? Atau pergi bertapa?. Sebenarnya aku kehilangan punca, apa yang perlu aku buat di blog ini. Ingin menulis meluah rasa, aku rasa ia terlalu peribadi.

Mari aku mulakan sesuatu di tahun baru yang sudah mula mahu menerjah ke bulan yang ke dua. Mahu mulakan dengan politik? Aku bukan orang yang layak untuk perkatakan tentang politik. Tetapi tetap mengikuti perjalanannya. 30 Januari 2011 PRK DUN Tenang. Walaupun Cikgu Rusdin dan Kak Linda tidak berjaya naik sebagai calon, aku rasa ada hikmahnya. Mereka berdua ini bukanlah orang yang asing pada aku. Aku lebih suka mereka tanpa memakai baju politik. Itulah ikhlasnya. Seorang guru yang mengajar aku bagaimana untuk berbahas, bagaimana untuk berpidato dan seorang lagi yang sering bawa aku menjengah ke dunia luar, realiti hidup dan bagaimana kehidupan seorang YB dan Menteri. Terima kasih untuk kalian berdua. Apa boleh buat rezeki Tok Ai kali ini. Di dalam kesulitan masih lagi boleh diambil kesempatan, tempias dr PRK sebenarnya ramai yang menikmati sekarang. Bukan sahaja masyarakat DUN Tenang tetapi mereka yang berada didalam lingkaran yang berdekatan. Aku? Masa inilah baru boleh hulurkan kepada Menteri-menteri memberi sokongan untuk melaksanakan projek pembangunan. Mintalah apa sahaja, anda pasti tidak kecewa. Bukan untuk kepentingan diri tapi sebenarnya untuk dinikmati beramai-ramai. Kami dapat projek, masyarakat setempat dapat pembangunan. Cuba kalau tiada PRK, pandang Labis pun belum tentu. Tak percaya? Labis tidak gah seperti tempat lain walaupun yang memegang kawasan Parlimen Labis adalah Menteri yang memegang portfolio dalam Kabinet sejak dari dahulu lagi. Dari aku kecil, kemudian keluar mencari ilmu buat seketika dan kembali semula, Labis tetap begitu jua keadaannya. Moga-moga siapa yang menang kelak akan membawa gelombang baru dalam pembangunan Labis. Melalut panjang pula pasal politik.

Okey, kita imbas semula apa yang berlaku tahun lepas pada diri aku. Hidup aku juga ada tsunaminya. Bermacam-macam, pahit manis aku telan. Cukup mengajar aku tentang hidup. Terima kasih kepada yang terlibat kerana aku telah di ajar dengan segala ilmu yang tidak mungkin dapat dijual beli. Aku tidak pernah menyalahkan takdir dan aku juga tidak pernah menyesali takdir. Alhamdullilah, ya benar, setiap yang berlaku ada hikmahnya.

Kita tinggalkan yang pahit sebagai ubat untuk perjalanan tahun ini dan kita kenang yang manis sebagai penyuntik semangat untuk berjaya lebih lagi dari tahun lepas. Tahun 2010, ku semadikan dalam diari hati.

Sebelum Awal tahun 2011 menjelma, aku telah bercuti panjang dari kerja. Bahagia betul. Kemana? Sabah - Brunei- Miri - Sabah. Bahagia sangat bila dah dihempap dengan beban kerja yang tiada tepian tu, selepas itu kita bercuti sakan. Terima kasih buat keluarga di Borneo kerana kalian telah sudi menerima kehadiran aku di sana. Sangat-sangat rindu untuk ke sana lagi. Nanti bila ada kelapangan akan aku "upload" gambar percutian di sana.

Wah, inilah kelemahan aku, bila sudah bermula sepertinya tidak mahu berhenti. Aku sangat suka menulis. Kelemahan aku lagi? Aku sangat jujur dalam penulisan. Sebab itu, aku cuba berhenti sebelum aku menulis sesuatu yang tidak perlu ditatap oleh orang lain.

Kita berjumpa dalam entri yang lain pula nanti. InsyaAllah ada kelapangan, aku akan cuba sentiasa mengisi blog ini dengan entri yang baru... Choww...

2 comments:

Zonan said...

Assalamualaikum

Welcome back

sue onn said...

Waalaikumusalam Papa Ibad,

Kembali merajinkan diri..