Hari terakhir di tahun 2012. Orang kata jangan lihat apa yang telah kita buat tetapi lihat apa yang belum dibuat. Bagi aku, kita harus melihat apa yang telah kita buat agar ia menjadi pemangkin atau menjadi ukuran adakah kita berjaya meletakkan diri kita pada tahap yang kita inginkan. Secara tidak langsung ia menjadi dorongan untuk terus berusaha.
Permulaan tahun yang baik aku kira untuk diri sendiri. Syukur, impian selama ini tercapai ditahun 2012. Kesabaran itu cukup manis rupanya. Cik City akhirnya ada didepan mata. Bukan mahu riak tetapi itulah hasil titik peluh aku. Lebih manis bila, plat pendaftaran aku bermula dengan "SU". Itulah aku, bila aku mahukan sesuatu aku, aku buat sampai dapat.
2012 kegilaan terhadap buku makin menjadi-jadi. Bertukar tabiat nampaknya, bukan suka membaca tetapi suka membeli buku. Tidak mengapa kerana bagi aku, buku-buku itu tetap akan aku baca jua kemudian.
RAMFC, 5 tahun usianya. Aku bangga dengan kelab ini kerana aku sebahagian didalamnya yang tahu suka duka untuk sampai ke tahap sekarang. Di dalam itu ada pelbagai kisahnya. Di situ aku kenal erti persahabatan, aku kenal erti persaudaraan. Semoga tahun mendatang akan menjadikan ia antara kelab yang paling aktif dan di segani oleh kelab-kelab buku yang lain.
Tahun ini aktiviti makan angin tidak seperti tahun-tahun yang lalu. Cuma sempat ke Chiang Mai awal tahun dan hanya berlegar disekitar Semenanjung Malaysia sahaja. Syukurlah masig berpeluang untuk berjalan-jalan lagi.
2012, 16 tahun dahulu aku pernah duduk di hospital kerana kecederaan ketika bermain hoki, kali ini aku masuk Wad sekali lagi gara-gara batu karang. Untunglah aku punya insurance untuk perubatan. Sangat selesa duduk di Hospital Pantai. Orang bergembira menyambut Hari Raya Qurban, aku duduk didalam wad. Terima kasih buat teman-teman yang mendoakan kesihatan aku.
Tahun bersilih ganti ganti. Terlalu cepat masa berlalu. Bukan kehidupan namanya jika tiada gelombang yang melanda. Namun itulah yang mendewasakan kita. Kita sentiasa merancang yang terbaik dalam kehidupan. Usaha jua yang akan menentukan kejayaan. Moga 2013 akan membawa sinar yang lebih terang untuk aku, keluarga dan teman-teman.
Angka 33, tahun hadapan ku harap membawa sesuatu yang berbeza untuk aku. Azam tahun baru?..Setiap hari aku punya azam, tidak perlu tunggu tahun bersilih ganti ;)