Monday, August 5, 2013

Aku Yang Dulu


Aku yang dulu bukanlah yang sekarang..
dulu  ditendang sekarang ku disayang..
dulu dulu dulu ku menderita.. 
sekarang aku bahagia...

Seorang kanak-kanak kecil yang berjuang untuk hidup. Kecil badannya namun jiwanya besar. Impian hanya untuk membantu keluarga. 

Aku yang dulu? Aku yang dulu tidaklah seperti kanak-kanak bernama Tegar ini yang terpaksa mengemis untuk meneruskan hidup. Bersyukur aku punya segala walaupun tidak mewah. Punya seorang bapa yang kuat berusaha, punya seorang ibu yang sentiasa mengajar hidup berjimat cermat. Segalanya lancar walaupun tiada istilah kaya.

Sehinggalah sesuatu yang tidak pernah sesiapa pun impikan dalam hidup. Kehilangan seorang bapa yang kupanggil Abah. Hero keluarga ku. Segalanya berubah. Istilah derita ketika itu sangat aku merasainya. Aku mencari duit poket sendiri untuk biaya pengajiaan aku. Menjual burger bergerak dari satu pintu ke satu pintu di asrama tempat ku belajar, menjual nasi lemak sebelum masuk kelas, mengambil tempahan membuat t-shirt yang mana aku berusaha mendapatkan dari persatuan yang aku sertai juga teman-teman sepengajian. Ah! satu pengalaman yang sangat mahal untuk aku lupakan. Aku tidak pernah mengeluh untuk semua itu kerana itulah didikan orang tuaku, berusaha bukan meminta-minta.

13 Ogos nanti genap 12 tahun perginya insan mulia ini. Insan yang sangat aku sayangi. Semoga Abah bersemadi aman damai di sana. 

Itu aku yang dulu.. Dan aku yang sekarang, alhamdullilah syukur dengan limpahan rezeki yang ada. Impian aku hanya mahu adik dan anak-anak saudara ku tidak melalui apa yang pernah aku lalui. Andai dapat ku penuhi keperluan mereka, sedaya upayanya aku cuba laksanakan. Bukan untuk memanjakan mereka tetapi biarlah mimpi ngeri itu tidak mereka rasai. Syukur, mereka bijak memahami situasi.

Jika mengikut lagu Altimet, Kalau Aku Kaya sampai bila-bila pun tidak kaya. Itu mimpi disiang hari. Tapi jika niatnya seperti Tegar, aku yakin itulah jalan untuk berjaya. Mulakan dengan keluarga kerana itulah kunci kebahagian. Andai niat dihati suci, pastinya ada jalan biar pun jalan itu panjang dan berliku. Syukur dengan apa yang kita ada kerana diluar sana masih ramai yang menderita. Bahagia itu subjektif bukan diukur dengan wang yang menggunung.