Thursday, August 18, 2011

Cinta Aku Seadanya...


Jangan kau kata cinta ..Andai tak bisa membahagiakan... Sangat jelaskan maksud ayatnya?.. saya cerita sedikit tentang novel Cinta Aku Seadanya karya Murni Aqila terbitan Grupbuku Karangkraf (Alaf 21).




Ini sinopsis tentang novel tersebut.

ANDAI manusia bisa memilih, tidak mungkin ada yang mahu dilahirkan serba kekurangan, apatah lagi penuh kecelaan. Akan tetapi, mana mungkin itu terjadi. Kuasa ALLAH membataskan segalanya. Kerana itu, Syifa menerima segala ketentuan ILAHI dengan penuh redha. Dipujuknya hati setiap kali dicaci hanya kerana mempunyai tanda lahir di pipi. Apa pun bagi Nafisah, Syifa adalah anugerah istimewa dari TUHAN dengan kelebihan tersendiri hingga dia berhajat menyunting Syifa untuk dijadikan isteri buat anaknya, Muszahri. Dan Syifa, nyata terkejut dengan keputusan Muszahri yang sudi menerimanya.

Duka dan malang datang bertimpa. Entah apa silapnya, Muszahri langsung tidak menyentuhnya selepas mereka diijabkabulkan. Luna, gadis yang memuja Muszahri pula tidak jemu-jemu cuba meruntuhkan istana cintanya. Malah kakak kandungnya sendiri, Zahra sering mencurah bicara berbisa mencacinya. Syifa kelelahan. Kalau bahagia bukan tercipta untuknya, apalah daya. Mungkin itu sudah takdirnya... dipandang tanpa hati, mencintai tanpa dicintai.


**************************************************************************************************

Ini komen saya ..Moon baca betul-betul komen ini. Pertama, terima kasih atas kiriman novelnya. Siapa sangka cempedak jadi nangka, bulan jatuh ke riba.

Baiklah itu mukadimahnya sahaja. Ini yang betulnya. Moon, tahniah kerana tidak memeningkan pembaca. Bertepatan dengan tajuknya, begitulah akan jalan ceritanya. Cerita ini tidak terlalu berat. Jalannya sangat lurus, tiada bengkang bengkok. Sangat mudah untuk difahami. Moon, cumanya watak yang jahat itu, kalau boleh bagi jahat lagi agar ia berkesan. haha2.. tambah sedikit dengan kata-kata puitis yang membuai ke.. tapi jujurnya apa yang ingin disampaikan itu sangat jelas walaupun ia simple.Tidak mustahil Moon akan duduk sebaris dengan penulis yang sudah ada nama suatu masa nanti. InsyaAllah. Teruskan menulis, kerana tetap ada yang sudi membaca. Usah takut akan hasilnya tapi takut sebab terlepas peluang kerana tidak mencuba.

Untuk peminat novel, saya cadangkan anda cuba membaca novel ini. Tiada kisah yang meleret-leret dan masih menyentuh jiwa anda jika anda seorang manusia yang punya hati.

Ini coretan Moon dalam novel yang dikirimkan kepada saya, "Bila kita cinta seseorang kerana apa yang dia ada..kita takkan temui cinta sejati"...


Monday, August 15, 2011

10 TaHuN YaNg LaLu..

13 Ogos..10 tahun yang lalu, Sewaktu Azan Subuh baru kedengaran, aku terima satu panggilan telefon yang bukan sahaja membawa berita perginya seorang yang sangat aku sayangi tetapi membawa jiwaku pergi bersamanya juga. Aku tidak pernah sangka, tidak pernah terfikir malah sangat takut untuk aku fikirkannya. Walaupun ketika itu, aku cukup jelas dengan apa yang berlaku, tetapi semahunya aku menolak akan kenyataan itu. 10 tahun yang lalu, seorang lelaki yang sangat aku kasihi menanggung derita akan penyakit yang tidak pernah kami sangka ia akan dihidapi oleh salah seorang dari kami... Lelaki itu Abahku. Hampir 8 bulan dia bertarung dengan penyakitnya, tepat 13 Ogos dia menghembuskan nafasnya yang terakhir tanpa aku ada di sisinya. Apa perasaan aku?..sangat-sangat terkilan, sedangkan semalamnya aku bersamanya.

10 tahun yang lalu aku masih bergelar seorang mahasiswi. Perjalanan hidup aku saat itu sangat susah sebenarnya. Tiada seorang pun yang tahu melainkan seorang sahabat yang tahu apa yang aku tanggung. Selama 8 bulan Hospital itu adalah rumahku. Setiap minggu aku pulang ke Johor, tempat yang aku tuju adalah Hospital Batu Pahat. Poket aku? Sentiasa kosong..Yang ada cuma duit tambang untuk aku pulang ke kampung. Selain menjual burger di asrama tempat aku belajar, duit simpanan selama aku buat kerja sambilan seperti buat t-shirt telah habis aku gunakan. Ya, kalian harus percaya akan rezeki Allah. Hari ini kita bantu orang lain, esok-esok pasti akan tiba masa kita perlukan bantuan orang lain. Menitik airmata aku tatkala seorang teman membayarkan sewa rumah untuk diriku. Aku cukup malu menerimanya, hanya pujukan darinya aku menerima pertolongan itu, katanya kali ini sudah tiba masa dia membantuku kerana sebelum ini aku selalu tolong bayarkan sewa rumah untuk dia tatkala dia kesempitan duit. Aku tidak meminta balasan dari itu semua sahabat, bantuanku kepada mu dulu adalah ikhlas kerana didikan dari orang tuaku sentiasa terpahat di hati. Hidup jangan sombong, bantu orang yang perlukan kerana sampai waktu dan ketikanya roda itu berpusing..

Kanser...siapa sangka ia betul-betul wujud. Saat diberitahu itulah penyakit yang dihidapi Arwah Abahku, aku menerima berita itu seperti abahku hanya demam sahaja. Sekuat-kuatnya aku menolak kenyataan itu. Aku jadi seorang yang sangat positif. Pada aku, Abah aku akan sembuh seperti sedia kala. Hakikat akan kesudahan penyakit itu aku lontarkan jauh-jauh. Aku perlu kuat kerana Emak aku. Sangat sukar untuk aku luahkan betapa penyakit itu sangat menguji setiap ahli keluargaku. Aku yakin mereka yang sudah menempuhinya akan faham situasi itu. Andai setiap adik beradik tidak bersatu, boleh hilang arah juga dalam menempuhnya. Setiap seorang ada tugas masing-masing. Ujian bukan sahaja penyakit itu, tetapi kewangan juga adalah sangat menguji. Hanya Allah sahaja yang tahu ketika itu betapa peritnya kehidupan kami. Setiap sen sangat berharga. Namun aku bersyukur kerana kejadian itu ada hikmahnya. Aku belajar erti sayang, aku belajar akan erti kehidupan..

Aku tidak mahu lagi toleh kebelakang. Yang telah berlalu, biarkan ia berlalu. Kenangan yang tinggal sudah cukup untuk kami meneruskan kehidupan. Abah tetap dalam hati kami sehingga nafas kami yang terakhir. Terima kasih kerana menjadi Hero kami di saat kami perlukan, terima kasih kerana kasih sayang yang tidak berbelah bagi, terima kasih kerana menyediakan segalanya untuk kami. Semoga Abah, bersemadi aman damai di sana. Tunggu kami di sana...

Temanku sekalian, ini hanya sedikit kisah perjalanan hidupku. Belajar dari kisahku ini. Hargainya ibu bapa kita, sementara mereka masih ada. Saat kalian kehilangan mereka, dunia ini seakan terhenti dan gelap serta merta. Kenapa aku tinggalkan kota metropolitan itu?..kenapa aku tinggalkan kerja dan jawatan yang sangat baik itu?.. kerana di sana tiada ibuku..

Monday, June 27, 2011

Bersih...bersih..bersih..

Apa yang mahu dibersih? Bukan kempen BERSIH lah. Tetapi proses pembersihan sawang di blog aku ni. 24 jam semua orang dapat tetapi kenapa masih tidak cukup. Aku sangat kagum dengan Tuan Web Sutera ( sahabat RAMFC), bukan sekadar menjalankan perniagaan kateringnya sahaja malah sempat menulis blog serta sudah berjaya menghasilkan buku Buat Duit Dengan Katering. Yang terbaru sedang giat menulis manuskripnya Alexander Agung. Moga-moga tahun hadapan buku ini akan berada di pasaran. Saya sangat bangga dengan kejayaan beliau.

Tinggalkan kisah beliau itu. Kisah aku pula, sekarang ni. Macam banyak cerita tadi masa nak bersihkan blog. Bila mula menaip saja..hilang terbang ideanya. Sudah hampir menjengah bulan Julai. Pantas masa bergerak. Wah! tahun ni belum jalan-jalan cari makan lagilah. haha2.. Kemana nak pergi? Tiada idea sudah. Mood sekarang cuma pergi kedai buku, beli buku walaupun buku yang ada belum lagi habis dibaca. Jadinya bila sudah tiada idea ni, baik aku hadap buku yang dah menimbun minta di baca.. Kalau rajin esok-esok dan esok aku ulas novel yang aku baca. Boleh gitu?.. Bulih bah kalau ko..ikut keadaan bah..

Thursday, March 24, 2011

Andai Segalanya Telah Tertulis

Aku dalam mood yang kurang baik sekarang..kenapa? entahlah. Jiwa Kacau agaknya..Jiwa kacau tu bagaimana ya?..Macam keadaan aku sekarang ini agaknya lah.

Tiada siapa yang faham akan hati kita..ada waktunya kita sendiri tidak dapat memahami apa sebenarnya yang kita mahukan. Sama ada ia kehendak yang datang dari hati tanpa berfikir atau apa yang terlintas di fikiran tanpa ada dikaji selidik terlebih dahulu. kompleks.. orang kata hidup ini mudah, jika kita tahu akan hala tuju kita. aku pula? Ada waktunya aku tau apa yg aku fikirkan, adakalanya aku rasa seperti hampir lemas dalam lautan yang luas. Aku selalu melihat keadaan diri sendiri, apa pencapaian aku, apa yg telah aku buat untuk majukan diri aku. Bila saat aku perlukan kekuatan mencari semula kebolehan dalam diri, aku seolah2 dalam satu dunia yang lain. Takut. Kenapa perasaan ini yang ada. Selama ini setiap cabaran aku lalui, tiada perasaan gentar kerana aku yakin apa yang aku lakukan. Aku betul2 dipersimpangan sekarang ni. Apa akan berlaku selepas ini?... Aku mulai bosan dengan rutin hidup aku. Bayangan penyelesaian pun tak kunjung tiba. Kalau inilah noktahnya..aku terima..dan aku akan mulakan perjalanan baru..tapi jika ia hanya tanda koma, aku pun tak pasti sama ada hati aku ada di sana 100% atau sudah hilang ikhlasnya. Orang kata aku sedang hancurkan apa yang aku bina..tetapi sebenarnya pada aku bukan aku yg hancurkannya, org lain yg cuba hancurkan. Kalau tidak cuba hancurkan mungkin dengan tepat sedang cuba tawan kota yang aku bina ... hahaha3..

Perasaan serba salah mungkin ini yang menyukarkan aku membuat keputusan. Aku mudah simpati, nampak saja keras tapi hati aku lembut sebenarnya..hahaha3.. tapi jika segalanya telah tertulis, aku harus terima segalanya. Biarlah tiada siapa yang yakin..tapi aku yakin kalau org lain boleh kenapa tidak aku. syaratnya aku tidak boleh rasa takut..kerana takut itu yg membunuh semua cahaya yang ada...

Friday, February 11, 2011

Banjir ooo Banjir..

3o Januari 2011, banjir melanda lagi. Walaupun rumah aku tidak dinaiki air bah tetapi kesan dari banjir tetap aku rasai. Betullah bukan senang nak senang. Mungkin inilah ujian sebelum datangnya nikmat kebahagiaan.




Rasa-rasanya apa sedang abg aku buat ni? Berkubang dalam air. Di bendang ke apa ni?





Beria-ria sungguh anak buah aku ni.. apa yer depa sedang buat ni?




Bergembira lagi kan?





Ini rupanya. Keledek yang belum sampai waktu untuk dituai terpaksa dicabut kerana kawasannya telah ditenggelami air. Bukan senang nak senang. Ku sangkakan panas hingga ke petang rupanya banjir di pagi hari... Sepanjang cuti Tahun Baru Cina apa menu kami?..keledek goreng, keledek rebus, kueh keria..ulang-ulang menu yang sama. Tak apalah syukur kita dapat makan.

Bukan rezeki kita sekeluarga kali ini nampaknya. Lepas ni kita mula semula projek keledek ni. Agi idup agi ngelaban..






Thursday, January 27, 2011

Kenapa Mereka Boleh Tapi Tidak Kita?

Apa yang ingin aku cerita sebenarnya? Pada 25 Disember 2010, akhirnya aku memijakkan kaki juga di bumi Brunei Darul Salam. Bukan ingin bercerita tentang tempat yang menarik dilawati di sana, tetapi ada perkara lain yang menarik perhatian aku. Di Malaysia, Kita cukup kaya dengan slogan. Bermacam-macam ayat slogan antaranya Bahasa Jiwa Bangsa. Tetapi adakah kita mempraktikkannya?.

Aku sangat kagum dengan Negara Brunei ini. Kenapa? ..Mari kita lihat sama-sama apa yang aku maksudkan.




Bahasa Melayu Bahasa Rasmi Negara ( Di Malaysia di mana kita boleh lihat papan tanda begini?)



Tulisan Jawi juga secara meluas digunakan.



Menjadi kebanggaan mereka menggunakan tulisan Jawi



Kenapa kita tidak berani menggunakan tulisan Jawi secara meluas?






Bangunan-bangunan di tengah-tengah Bandar Brunei juga secara meluas menggunakan Tulisan Jawi di papan-papan tanda.



Nama kedai B- Win ditukarkan menjadi B -Menang dan kemudiannya ditulis menggunakan tulisan Jawi.



Lagi...



Dan Lagi...


Mmmm... pada saya, ada waktunya kita terlalu tunduk sangat. Dimana silapnya? Anda tahu jawapannya..











Wednesday, January 26, 2011

Kita Mulakan Yang Baru

Sekian lama, aku biarkan blog ini bersawang. Masa perlu dicari. Kesibukkan bukan alasan sebenarnya. Setiap manusia mempunyai 24 jam sehari. Tapi itulah fitrahnya, kita tidak pernah sedar kita mempunyai 24 jam sehari.

Apa yang berlaku sebenarnya sehingga aku biarkan blog ini bersawang? Mengubat hati yang lara kerana putus cinta? Melaksanakan projek ribu-ribu? Di timbuni kerja yang tidak pernah habis? Atau pergi bertapa?. Sebenarnya aku kehilangan punca, apa yang perlu aku buat di blog ini. Ingin menulis meluah rasa, aku rasa ia terlalu peribadi.

Mari aku mulakan sesuatu di tahun baru yang sudah mula mahu menerjah ke bulan yang ke dua. Mahu mulakan dengan politik? Aku bukan orang yang layak untuk perkatakan tentang politik. Tetapi tetap mengikuti perjalanannya. 30 Januari 2011 PRK DUN Tenang. Walaupun Cikgu Rusdin dan Kak Linda tidak berjaya naik sebagai calon, aku rasa ada hikmahnya. Mereka berdua ini bukanlah orang yang asing pada aku. Aku lebih suka mereka tanpa memakai baju politik. Itulah ikhlasnya. Seorang guru yang mengajar aku bagaimana untuk berbahas, bagaimana untuk berpidato dan seorang lagi yang sering bawa aku menjengah ke dunia luar, realiti hidup dan bagaimana kehidupan seorang YB dan Menteri. Terima kasih untuk kalian berdua. Apa boleh buat rezeki Tok Ai kali ini. Di dalam kesulitan masih lagi boleh diambil kesempatan, tempias dr PRK sebenarnya ramai yang menikmati sekarang. Bukan sahaja masyarakat DUN Tenang tetapi mereka yang berada didalam lingkaran yang berdekatan. Aku? Masa inilah baru boleh hulurkan kepada Menteri-menteri memberi sokongan untuk melaksanakan projek pembangunan. Mintalah apa sahaja, anda pasti tidak kecewa. Bukan untuk kepentingan diri tapi sebenarnya untuk dinikmati beramai-ramai. Kami dapat projek, masyarakat setempat dapat pembangunan. Cuba kalau tiada PRK, pandang Labis pun belum tentu. Tak percaya? Labis tidak gah seperti tempat lain walaupun yang memegang kawasan Parlimen Labis adalah Menteri yang memegang portfolio dalam Kabinet sejak dari dahulu lagi. Dari aku kecil, kemudian keluar mencari ilmu buat seketika dan kembali semula, Labis tetap begitu jua keadaannya. Moga-moga siapa yang menang kelak akan membawa gelombang baru dalam pembangunan Labis. Melalut panjang pula pasal politik.

Okey, kita imbas semula apa yang berlaku tahun lepas pada diri aku. Hidup aku juga ada tsunaminya. Bermacam-macam, pahit manis aku telan. Cukup mengajar aku tentang hidup. Terima kasih kepada yang terlibat kerana aku telah di ajar dengan segala ilmu yang tidak mungkin dapat dijual beli. Aku tidak pernah menyalahkan takdir dan aku juga tidak pernah menyesali takdir. Alhamdullilah, ya benar, setiap yang berlaku ada hikmahnya.

Kita tinggalkan yang pahit sebagai ubat untuk perjalanan tahun ini dan kita kenang yang manis sebagai penyuntik semangat untuk berjaya lebih lagi dari tahun lepas. Tahun 2010, ku semadikan dalam diari hati.

Sebelum Awal tahun 2011 menjelma, aku telah bercuti panjang dari kerja. Bahagia betul. Kemana? Sabah - Brunei- Miri - Sabah. Bahagia sangat bila dah dihempap dengan beban kerja yang tiada tepian tu, selepas itu kita bercuti sakan. Terima kasih buat keluarga di Borneo kerana kalian telah sudi menerima kehadiran aku di sana. Sangat-sangat rindu untuk ke sana lagi. Nanti bila ada kelapangan akan aku "upload" gambar percutian di sana.

Wah, inilah kelemahan aku, bila sudah bermula sepertinya tidak mahu berhenti. Aku sangat suka menulis. Kelemahan aku lagi? Aku sangat jujur dalam penulisan. Sebab itu, aku cuba berhenti sebelum aku menulis sesuatu yang tidak perlu ditatap oleh orang lain.

Kita berjumpa dalam entri yang lain pula nanti. InsyaAllah ada kelapangan, aku akan cuba sentiasa mengisi blog ini dengan entri yang baru... Choww...