Monday, December 31, 2012

SuKa DuKa 2012

Hari terakhir di tahun 2012. Orang kata jangan lihat apa yang telah kita buat tetapi lihat apa yang belum dibuat. Bagi aku, kita harus melihat apa yang telah kita buat agar ia menjadi pemangkin atau menjadi ukuran adakah kita berjaya meletakkan diri kita pada tahap yang kita inginkan. Secara tidak langsung ia menjadi dorongan untuk terus berusaha.

Permulaan tahun yang baik aku kira untuk diri sendiri. Syukur, impian selama ini tercapai ditahun 2012. Kesabaran itu cukup manis rupanya. Cik City akhirnya ada didepan mata. Bukan mahu riak tetapi itulah hasil titik peluh aku. Lebih manis bila, plat pendaftaran aku bermula dengan "SU". Itulah aku, bila aku mahukan sesuatu aku, aku buat sampai dapat.

2012 kegilaan terhadap buku makin menjadi-jadi. Bertukar tabiat nampaknya, bukan suka membaca tetapi suka membeli buku. Tidak mengapa kerana bagi aku, buku-buku itu tetap akan aku baca jua kemudian.

RAMFC, 5 tahun usianya. Aku bangga dengan kelab ini kerana aku sebahagian didalamnya yang tahu suka duka untuk sampai ke tahap sekarang. Di dalam itu ada pelbagai kisahnya. Di situ aku kenal erti persahabatan, aku kenal erti persaudaraan. Semoga tahun mendatang akan menjadikan ia antara kelab yang paling aktif dan di segani oleh kelab-kelab buku yang lain.

Tahun ini aktiviti makan angin tidak seperti tahun-tahun yang lalu. Cuma sempat ke Chiang Mai awal tahun dan hanya berlegar disekitar Semenanjung Malaysia sahaja. Syukurlah masig berpeluang untuk berjalan-jalan lagi.

2012,  16 tahun dahulu aku pernah duduk di hospital kerana kecederaan ketika bermain hoki, kali ini aku masuk Wad sekali lagi gara-gara batu karang. Untunglah aku punya insurance untuk perubatan. Sangat selesa duduk di Hospital Pantai. Orang bergembira menyambut Hari Raya Qurban, aku duduk didalam wad. Terima kasih buat teman-teman yang mendoakan kesihatan aku.

Tahun bersilih ganti ganti. Terlalu cepat masa berlalu. Bukan kehidupan namanya jika tiada gelombang yang melanda. Namun itulah yang mendewasakan kita.  Kita sentiasa merancang yang terbaik dalam kehidupan. Usaha jua yang akan menentukan kejayaan. Moga 2013 akan membawa sinar yang lebih terang untuk aku, keluarga dan teman-teman.

Angka 33, tahun hadapan ku harap membawa sesuatu yang berbeza untuk aku. Azam tahun baru?..Setiap hari aku punya azam, tidak perlu tunggu tahun bersilih ganti  ;)






Saturday, December 8, 2012

Diam Lebih Baik


Bila bercakap selalu salah
Bila bercakap selalu disalah ertikan
Bila bercakap selalu tidak diendahkan
Bila bercakap selalu melukakan

Maka lebih baik DIAM...


Tuesday, November 27, 2012

Batu Karang Di Perut Bukan Di Lautan



Punya luas lautan  didalam perut juga mahu duduk. Tiada sejarah dalam keluarga aku ada yang kena batu karang. Cipta sejarah di pagi Hari Raya Qurban aku masuk hospital gara-gara sakit perut disebabkan batu karang.

26 Oktober 2012, jam 2 pagi aku dah rasa sakit. Fikirnya kena gastrik sahaja. Capai sekeping roti makan tetapi sakitnya makin menjadi-jadi. Tidak boleh digambarkan macam mana sakitnya. Pagi tu mak lah yang jadi mangsa. Aku kejutkan dia jam 3 pagi bila sakit sudah tidak dapat dibendung lagi.

Lepas sakit perut, aku muntah-muntah pula. Sudah tak tertahan lagi, kakak ipar ku pula yang menjadi mangsa. Mak kejutkan dia jam 5 pagi, hanya kerana dia selalu sakit perut dan menyimpan ubat tahan sakit. Kalau lihat stok ubatnya sudah macam ahli farmasi jek. hehehe..Lepas telan sebijik pil, aku terlelap sambil duduk. Tak sampai 10 minit sakit kembali. Kali ini memang sudah tidak boleh tahan lagi. Akal yang waras pun sudah hilang yang tinggal hanya seperti orang gila yang meraung-raung kesakitan. Sehingga lah aku bangun mandi dan bila buang air kecil, air kencing dah keluar darah. Barulah seluruh isi rumah kelam kabut. Kalau tidak, masih ada yang lena tidur sedang aku menahan sakit.

Hampir jam 8 baru aku dihantar ke hospital. Selepas abang aku bawa pusing-pusing keliling Yong Peng mencari klinik yang buka. Manalah ada klinik yang buka awal pagi di Yong Peng ni, ditambah dengan hari cuti umum. Setelah aku bising, kata hantar saja ke Hospital Pantai sahaja barulah dia sedar macam orang baru bangun tidur. Kereta aku, bunyinya..mmm menderu terasa keras benar bunyinya. Lajunya tak boleh cakaplah.

Syukur, kerana sikap aku sendiri sentiasa fikirkan sesuatu, sentiasa beringat, medical card yang aku ada dari MAA Insurance memudahkan kemasukkan ke wad. Masuk hospital swasta haruslah duit keluar dulu tetapi dengan kad tu sekejap saja aku diuruskan. Dengan hati tenang aku masuk wad. Tiadalah tambah sakit bila fikir nak cari duit nak bayar..hehehe.. Selepas buat ultra sound, buat CT Scan dan Xray..adalah sebiji dua batu yang menyekat saluran ke pundi kencing. kecil sahaja tapi sakitnya, hanya yang pernah rasa sahaja yang tau bagaimana keadaannya.

Doktor kata, tak perlu pembedahan, cuba keluarkan cara normal sahaja. Ya, minum air banyak-banyak. Sejak masuk, dipaksa minum air masak 8 liter air sehari. Selama 3 hari 2 malam percutian di Hospital Pantai tu, 8 botol air dimasukkan dalam badan. Bengkak tangan aku.

Petang Raya tu, semua ahli keluarga aku berkampung di hospital. Bila lihat semua tu, aku teringat kembali masa arwah abah sakit duduk di hospital. Begitulah kami punya rutin, berkampung di hospital. Mereka datang bawa ketupat dan mereka juga lah yang makan. Aku tukang tengok sahaja. Malamnya aku sendirian, walaupun mak nak menjaga. Aku kasihan lihat dia, biarlah dia tidur selesa di rumah.

Tahun ini, keluarga aku buat Qurban lagi. Jadi pagi Sabtu tu  tiada siapa yang datang jenguk aku sebab semua sibuk dirumah uruskan daging qurban.

Tengah hari, sesuatu yang buat aku terharu berlaku. Ya, teman-teman rapat dari RAMFC datang. Ah, mereka semua ini memang suka buat kejutan. Sukar mencari teman sebaik ini. Aku bersyukur kerana punya teman yang begini. Kalian ajar aku apa erti persahabatan. Usia persahabatan kita baru menjengah 5 tahun tapi seolah-olah aku kenal mereka semua sejak kecil lagi. Hilang sakit. Terima kasih sahabat.


Petang, mereka semua ikut mak aku balik ke rumah. Tinggal lagi aku seorang. Mereka enak-enak dirumah makan nasi ambeng. hehehe.. rezeki mereka. Langkah kanan.

Malam, datang saudara ku dari jauh. sepatutnya kami sambut raya bersama-sama. Malangnya sebelum aku masuk hospital, penerbangan dia dibatalkan kerana ada masalah di  lapangan terbang yang memaksa mereka terbang keesokkan harinya. Dia kata itu tandanya, memberitahu berlaku sesuatu. aku kata hanya kebetulan saja. Terima kasih cik Yati dan keluarga. Persahabatan kami bukan dinikmati kami  sahaja tetapi seluruh keluarga merasai hubungan ini. Terima kasih Ya Allah akan rahmatmu ini.

Hari Ahadnya, petang aku keluar dari wad dengan pesanan penaja yang banyak sekali. Terima kasih untuk warga Hospital Pantai. Perkhidmatan yang terbaik setanding dengan harganya.

Syukurlah aku masih ada seorang emak. Biarpun emak aku bukan berpelajaran tinggi, bukan seorang yang bergaya, bukan seorang yang berkerjaya hebat tetapi dia seorang emak yang hebat. Aku kuat kerana dia. Terima kasih emak.



Thursday, September 20, 2012

Bila Bercakap Lebih Mudah...


Bercakap itu lebih mudah dari melaksanakan. Hari ini aku teringat suatu masa dahulu ada seorang Hamba Allah pernah bertanya kepada aku, " Kenapa tidak berkahwin lagi?". Walaupun aku bukan berbicara bertentang mata dengannya tetapi aku tetap tersenyum dengan soalan itu. Kalau aku jawab, belum ada jodoh itu pasti sudah biasa kedengaran dimana-mana. Jawapan cliche sangat. Jadi pada hari itu aku jawab, "Saya ada tanggungjawab yang harus dipikul dan tugas itu belum selesai". Untuk makluman dia, aku beritahu aku menjaga ibuku. Dia beri pandangan seposennya, katanya kan lebih mudah jika sudah berumahtangga kerana akan ada orang lain yang sama jaga ibuku. Saat itu juga aku ajukan soalan padanya, "Awak yakin, ia sangat membantu?"..Diam tanpa menjawab soalan aku. Mengapa dia senyap tak berkata, sebab kala itu ibunya kurang sihat tetapi dia tidak mampu untuk menjaganya pun.

Bercakap memang mudah. Dari pandangan aku, dari pemerhatian aku juga, BUKAN SEMUA yang telah berkahwin mampu menjaga ibu bapa mereka sebaik mungkin. Maksud aku dari segi komitmen. Alasannya mudah kerana komitmen terhadap keluarga mereka pula. Kesudahannya yang bujang juga menjaga orang tua. Jadi dimana yang kata pasangan itu membantu menjaga orang tua kita?. Mungkin terjadi sebaliknya, kita pula jaga orang tua mereka. 

Jangan cepat menghukum orang lain. Jangan cepat menilai tanpa anda kenali dahulu orang yang anda nilai itu. Kalau anda rasa diri anda bagus sangat, tolong jangan cakap kosong sahaja. 

Salah ke hidup sendiri? Salah ke jika masih tidak berkahwin? Kalau masih belum jodohnya, siapa kita untuk mempersoalkannya. Segalanya telah tertulis. Tidak perlu nak meroyan kalau masih belum berkahwin. Tidak perlu juga menunjuk bahagianya anda hanya kerana baru berkahwin. Siapa juga tahu esok lusa anda kembali  bujang..tiada siapa yang tahu. 

Aku.. pedulilah kata orang. Bukan aku minta makan dari mereka. Aku bebas kemana-mana. Aku bebas untuk berbuat apa sahaja. Dan yang penting, aku ada sentiasa dengan ibuku. Jadi tidak perlulah aku bagi tanggungjawab menjaga ibuku kepada yang lain hanya kerana..ADA KOMITMEN yang lain. Clichenya jawapan.. Menjaga kedua orang tuamu itu adalah tanggungjawab sebagai anak walaupun kamu sudah bergelar ibu atau bapa. Bukan hanya menyerahkan bulat-bulat tanggungjawab itu kepada adik beradik yang masih bujang. Faham tu!!!.. Jadi, anak-anak yang soleh dan solehah pikullah tanggungjawab itu bukan hanya sekadar bijak berbicara.

Sentiasa mengingatkan diri sendiri, aku hanya ada seorang ibu. Aku bukanlah anak yang sangat baik dan sempurna kerana aku juga manusia biasa. Namun aku sering berharap, aku sentiasa diberi peluang untuk menjaganya selama-lamanya.



"hidup ini umpama roda..berputar dan berputar..diatas dan dibawah...namun tiada siapa juga yang tahu pahit manisnya melainkan roda itu sahaja"


Tuhan jagakan dia
Dia kekasihku, kan tetap milikku
Aku sungguh mencintai
Sungguh menyayangi setulus hatiku


Wednesday, September 5, 2012

Terlena

Terlena...
terlena... bukan kerana dalam pelukan...
terlena... bukan kerana dingin malam...
terlena... bukan kerana hangatnya diselimut gebar buruk
terlena... bukan kerana merdu suara yang mendodoikan

tapi ..terlena kerana alpa.


Friday, July 6, 2012

Cinta Setengah Mati




Wah!! tajuk gempak semacam. Tetapi tiada apa-apa cerita pun di sini. Tiada sesiapa juga yang mati.

Cuma nak bercerita, aku kerap kerja luar dan radio adalah peneman setia setiap jalan yang aku lalui.  Macam-macam lagu yang aku dengar. Jiwa aku selalunya lebih kepada lagu-lagu lama kerana indahnya bahasa yang tersusun rapi. Bahasa ringkas namun tetap puitis. 

Aku mahu cerita satu lagu yang aku dengar. Haha2..gelak dulu. Dalam leka memandu, tetiba cuping telinga menangkap senikata lagu ni "seribu kali ku mati ku rela untuk dirimu...sekali pun ku takut kan kehilanganmu".. Lagu apa ni? Terngiang-ngiang di kepala.. Seperti biasa aku memang ketinggalan tentang artis dan rujukan aku pastinya seseorang yang suka menyanyi.. Tetapi tetap tidak dapat jawapannya sehingga aku terlupa akan kisah bait-bait lagu tersebut.

Di hari lain, lagu ini sekali lagi aku dengar . Akhirnya pulang ke rumah seperti biasa aku google senikatanya. Oh! lagu Cinta Setengah Mati judulnya.. Jadi apa kaitannya dengan entri aku ini? Bila dengar lagu begini, orang nilaikan dengan istilah jiwang karat. Tetapi aku suka maksud disebaliknya.

Aku kongsikan bersama liriknya..

setiap hari ku bayangkan
setengah mati ku korbankan
apa pun akan ku lakukan
demi kamu (demi kamu)

setiap hari ku harapkan
setengah mati ku korbankan
apa pun akan ku berikan
demi kamu demi kamu

sya la la la lai la la la la lai
seribu kali ku mati ku rela tuk dirimu
sya la la la lai la la la la lai
sekali pun ku takut kan kehilanganmu

setiap hari ku bayangkan
setengah mati ku korbankan
apa pun akan ku lakukan
demi kamu demi kamu

Jadi apa ceritanya entri aku ini?.. Ambil yang positif. Beginilah pengorbanan ibu bapa kepada kita kan. Kalau kita rasa , telah buat segalanya untuk membalas jasa ibu bapa kita sekarang, aku rasa silap kerana sehingga mati pun belum tentu kita dapat membalasnya. Aku tidak suka lihat diri orang lain. Melihat diriku sahaja, aku tahu aku tak mampu membalas segala-galanya. Kalau mati dan hidup berkali-kali pun memang takkan mampu membalas jasa mereka. Abah adalah Hero dihatiku dan Mak adalah Super Mak yang mampu buat apa saja untukku. Ya, mereka lah sumber inspirasi aku, sumber kekuatan aku dalam mengharungi kehidupan. Disaat aku rebah, wajah mereka adalah pendorong untuk aku bangkit. Syahdu pula rasa dihatikan. Jangan sedih-sedih, teruskan hidup baik-baik.


Ok , Bagaimana pula dengan kisah lagu ini pada yang bercinta?. Ada sang Arjuna yang sanggup lakukan?..Sanggup ke hendak mati beribu kali? Terguris pisau sekali pun belum tentu sanggupkan. Masih wujudkah cinta yang sejati? Aku tidak punya jawapan. Kalian yang lalui pasti ada jawapannya... Kalau berkorban dan sanggup mati seribu kali pun.. jika orang yang disayang tiada rasa yang sama didalam hatinya..itu adalah sia-sia. Syukur dengan apa yang kita ada. Hargai mereka yang sudah tentu menyayangi kita tanpa sebab atau alasan..


Cinta dan sayang seadanya.. Jangan sampai membinasa..


( Simpang Mengayau, Kudat Sabah ~ 2010)

Monday, June 4, 2012

Aku Tukar Hinaan Dengan Ini...

 Prinsip hidup aku dari dulu, setiap kata hinaan orang itu aku satukan menjadi pembakar semangat. Terima kasih kepada yang menghina satu masa dulu kerana itulah penggerak untuk aku terus berjuang.

9 tahun, kalau boleh dilihat hati aku..rasanya dah takde hati dah. Makan hati dengan kata-kata sindiran orang. Ya, aku graduan yang duduk di kampung. Graduan yang telah lari jauh dari apa yang dia pelajari dahulu. Tidak perlu canang satu dunia apa masalah kita..Susah kita tiada siapa ambil tahu, jadi mengapa harus sibuk bila aku sedang nikmati hasil usaha aku.

Aku mampu dari dulu lagi TETAPI aku punya IMPIAN. Dan kerana itu aku sabar menanti. Ya, tidak mewah tetapi aku puas... Aku tak tahu kenapa?..Tapi dari aku sekolah dulu, aku memang ada impian untuk memiliki kereta  jenama ni. Andai arwah abah masih hidup, aku yakin dia akan geleng kepala melihat apa yang ada depan mata sekarang. Ya, aku sangat degil dan tidak pernah berubah fikiran.

Bulan Mei jadi saksi, akhirnya..ku sunting jua. Sah dia menjadi milikku.... Moga jodoh berkekalan hingga nafas yang terakhir...