Thursday, January 31, 2013

Saya Tidak Tahu




Bukan aku, tetapi pembantu aku. Mendapat seorang pembantu untuk melaksanakan kerja sangat mengujakan aku pada mulanya. Ya, beban kerja yang menimbun diatas bahu ini terasa hilang seketika.

Tetapi sejam kemudian ia bertukar menjadi satu tugas tambahan pula pada aku. Aku faham, pengalaman kerja tiada, hanya berbekalkan latihan industri selama 6 bulan sahaja. Tetapi mengapa begitu teruk sekali kualitinya? Baca pelan tidak tahu, tawaran tender tidak tahu, buat laporan kerja tidak tahu dan gunakan excel tidak tahu. Ohhh, sampai begitu sekali teruk sistem pembelajaran di Malaysia. Jadi apa yang dibelajar di politeknik dan universiti?

Sistem pembelajaran harus di tukar dari hanya teori kepada lebih praktikal. Maaf cakap, mereka yang datang bekerja bukan lepasan akademik yang tinggi lebih bijak dalam bekerja. Hanya ada sijil kemahiran sahaja.

Buat adik-adik yang bakal menepuh alam pekerjaan, nasihat aku janganlah mudah berkata saya tidak tahu tanpa mahu usaha sesuatu. Jaangan hanya gah pada sekeping kertas anda yang nilainya hanya seperti sehelai kertas A4 yang diconteng-conteng kemudian boleh dibuang.

Aku bermula dari bawah. Dari kosong dalam bidang yang sangat berbeda dengan apa yang aku pelajari di universiti dahulu. Tetapi bukan alasan untuk aku berkata tidak. Berusaha memajukan diri sendiri. Sampai bila harus disuap tanpa mencari.

Jangan hanya tahu meminta gaji tinggi jika hasil kerjanya tidak setimpal. Cubalah perbaiki cara berfikir, jangan hanya bersandarkan kepada sekeping kertas sahaja. Tiada siapa yang pandang kertas itu jika akhirnya nilai kerja yang diberikan tidak mencerminkan anda seorang graduan.

Kita semua boleh berjaya jika kita sendiri menolak diri kita ke hadapan. Selesakah hidup hanya duduk ditakuk lama? Jangan malas untuk berusaha. Kejar peluang dan ruang dalam mencari ilmu dan kemudian praktikkan agar ia menjadi sesuatu yang berguna jika bukan untuk orang lain, untuk diri sendiri juga.






Tidak tahu bukan jawapan. Kalau rajin google pun, anda boleh jadi serba tahu. Yang penting ada usaha untuk menjadi seorang yang serba tahu.

Sunday, January 27, 2013

Aku Bercerita

Novel ke 4, Tahun 2013.

Tajuk: Aku Bercerita
Penulis : Ramlee Awang Murshid.
Terbitan: Grup Buku Karangkraf ( Alaf 21)
Bil. M/S: 617 mukasurat
Genre: ( Baca sendiri baru tau)

( gambar ini bukan milik saya )




" Kadangkala..sesebuah cerita melangkaui batas fikiran"

Tagline itu sahaja sudah menggambarkan cerita didalamnya sudah pasti melangkaui batas fikiran kita. Karya penulis ini sudah tidak asing bagi diri aku. Namanya pun pengikut tegar kipas susah mati kelab RAMFC.

Berbalik kepada cerita. Karya ini agak ringan sedikit berbanding yang sebelum-sebelumnya. Ringan bermaksud  tiada kerut-kerut diwajah ketika membacanya. Satu percubaan membuat kelainan dan lari dari konsep beliau sebelum ini. Barangkali jemu sudah memakan ambuyat, jadi kali ini cuba menikmati nasi kandar pula.

Sebuah novel yang punya 5 cerita, sebenarnya ada 6 cerita jika difahami betul-betul. Bunian, Culik, Cinta Matiku, Sang Kancil dan Cut. 1 lagi tajuk Aku. haha2.. bacalah dan kalian akan menemuinya.

Pada aku, sesuatu yang baru mungkin perlu kita cuba menikmatinya dahulu. Jangan dibuang terus hanya kerana  telah terbiasa dengan rutin atau selera kita. Ya, aku lebih gemar Rahsia Perindu, Fiksyen 302, Trilogi Tombiruo tetapi bukan bermakna aku tidak boleh menelan sesuatu yang baru. Sekali sekala kita bersantai dalam menikmati juadah. Nikmati dengan tenang tanpa buru-buru. Dalam santai, aku masih menikmati hiburan dan pengajaran.

Kepada yang cuba untuk berjinak-jinak dengan karya Ramlee Awang Murshid, boleh cuba membaca karya ini.

(Kegilaan terhadap karya RAM, kesannya mereka  bertungkus lumus bekerja memastikan sebahagian ahli RAMFC menerima buah tangan yang terbaru ini)




"Sesebuah cerita itu tersimpan didalam fikiran, bermain didalam hati dan akhirnya diluahkan dalam bentuk tulisan. Bercerita dalam bentuk lisan membuatkan aku letih"






Sesuatu cerita boleh ditafsir dengan seribu pengertian. Aku bercerita akan si kancil tetapi belum tentu dia menerima isinya tentang kancil, barangkali ia sampai di otaknya sebagai pelanduk. Mana mungkin cerita kita orang lain yang lebih mengerti... Kisah aku dan kau berbeza...

Berfikir Gaya Champion

Tajuk  Buku :  Berfikir Gaya Champion
Penulis : Hizamnuddin Awang @ Web Sutera
Bilangan M/S : 190
Terbitan Galeri Ilmu.
Genre: Motivasi/ Tarbiah.



"Champion adalah orang yang mampu bangkit di saat sukar"

Sebuah buku motivasi. Sangat sesuai untuk semua peringkat umur. Buku ini boleh menjadi pendorong atau memberi jalan untuk kita yang menghadapi kekecewaan dalam mengejar impian. Bagaimana untuk memimpin diri ke arah yang lebih baik.


Umpama sebuah diari yang tertulis kisah peribadi penulis sendiri, bagaimana beliau bangkit menjadi insan yang hebat.  Beliau bukanlah berasal dari golongan keluarga yang berada tetapi itu bukan alasan untuk mengapai impian. Setiap dari kita punya kisah dan cerita yang tanpa kita sedar jika dihalusi ciri-ciri seorang champion itu sudah ada dalam diri masing-masing.

Aku syorkan buku ini kepada mereka yang mencari-cari hadiah yang sesuai untuk diberikan kepada seseorang tidak kira untuk anak-anak ataupun teman-teman.


Rumusannya, penulis mengajak pembaca mencari potensi dalam diri sendiri. Kejayaan itu bermula dengan cara kita berfikir. Sekecil mana pun kita, cara berfikir mampu mengubah hidup ke arah yang lebih baik

Ini buku ketiga aku baca untuk awal tahun 2013. Agak perlahan pembacaan aku sekarang kerana aku lebih hebat membeli buku dari membacanya. Kegilaan yang sukar untuk di tafsirkan.

Mengenali secara peribadi penulis buku ini aku kira ia satu bonus. Isi kandungannya buku ia kebanyakkan aku sudah baca dari blog beliau. Kisah yang biasa-biasa dijadikan luar biasa tanpa kita sedari. Mungkin pada mata kasar ia sesuatu yang kecil tetapi impaknya sangat besar dalam menongkah arus kehidupan. Untuk apa mimpikan bulan andai mentol yang tergantung di syiling itu pun kita masih perlukan tangga untuk mencapainya.





 Hidup tanpa tindakan adalah mati tetapi hidup tanpa berfikir adalah mati sebelum bertindak.




Saturday, January 26, 2013

Baca@LRT

19 Januari 2013, Baca@LRT dimulakan penuh gaya dengan gerakan diketuai oleh team RAMFC. Kepercayaan yang diberikan oleh Pengasas Baca@ iaitu Tn Zamri adalah sesuatu yang sangat berharga. Jika sebelum ini, RAMFC hanya satu kumpulan penyokong, pada hari itu RAMFC mengetuainya. Sempena meraikan novel Aku Bercerita para peserta digalakkan membaca novel tersebut. Laporan penuh boleh di baca di sini --->http://www.kelabram.com/2013/01/bacalrt-ramfc.html

Kegilaan membawa aku ke sana. Sesuatu yang dicemburui jika RAMFC membuat aktiviti tanpa aku dapat menghadirkan diri. 5 tahun, bukan jangka masa  yang pendek. Segalanya bermula kerana minat tetapi kini ia sudah erat sehingga mengikat hubungan seperti ahli keluarga. sukar untuk dijelaskan dengan kata-kata, mereka yang laluinya sahaja akan memahaminya. Pada aku, hubungan ini bukan seperti Touch n Go. Di sinilah ada tawa dan tangisnya. Di sini ada pahit manisnya. Di sini setiap bahu bergandingan, setiap lara dikongsi, setiap yang manis dinikmati bersama. Andai di tanya apa itu RAMFC? Itulah keluarga kedua ku.

Bertemu sahabat seperjuangan, beban kerja yang dipikul melayang bagai ditiup angin. Gelak tawa, usik mengusik membawa bahagia.

Semoga hubungan ini akan kekal selamanya.




Dua tiga kapal belayar di samudera
Ayuh sahabatku kita bergembira
Bermain bernyanyi bersama menikmati indahnya dunia
kerna..
Sahabat untuk selamanya
Bersama untuk selamanya
Kau dan aku sahabat
Untuk selamanya setia
oh oh..
Berakit-rakit kita ke hulu
berenang-renang kita ke tepian
kita berbeza untuk saling mengisi segala kekurangan
kita
menjadi..
Sahabat untuk selamanya
Atasi semua perbedaan
Kau dan aku sahabat
Untuk selamanya… selama-lamanya setia…
Tiada bukit yang terlalu tinggi
untuk kita daki bersama
dan tak ada laut yang terlalu dalam
untuk diselami…
Sahabat untuk selamanya
Bersama untuk selamanya
Kau dan aku sahabat
Untuk selamanya ohh..
Sahabat untuk selamanya
Berbagi dan saling menjaga
Kau dan aku sahabat
Untuk selamanya… selama-lamanya… setia…


Ada sesuatu yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Nilai dari hati yang bersih. Hargai sesuatu yang berharga yang mungkin jika kita hilang ia mustahil untuk dimiliki kembali.

Tuesday, January 8, 2013

Buku Baru Bermula



Sudah masuk hari ke lapan 2013. Hari-hari yang sibuk. Awal tahun masa menutup segala akaun syarikat bermula. Waktu ini sangat memeningkan kepala. Diam tak diam tahun ini genap 10 tahun aku bekerja sebagai apa?..Aku pun tidak tahu apa jawatan aku yang sebenar. Cacamarba, segalanya aku buat tapi bukan bos, aku tetap seorang KULIKUTIF. Aku tidak kisah dengan apa yang telah aku lalui, syukur aku masih mempunyai pekerjaan jika mahu dibandingkan dengan orang lain yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan terpaksa merintih untuk sesuap nasi. 

Lebaran baru ini aku inginkan sesuatu yang baru. Aku inginkan tahun ini lebih baik dari tahun lalu. Masa mengumpul duit kembali. Bukan mata duitan tetapi siapa kita tanpa duit. Kuasanya sangat besar. Cumanya tidaklah sampai menjadi hamba duit. Sebagai orang bujang bukan bererti kita tidak memerlukan duit untuk kehidupan. Sesetengah orang memandang kehidupan sebagai orang bujang tidak memikul tanggungjawab yang banyak. Harus diingatkan, kami juga mempunyai kehidupan. Tiada bahu kedua untuk disandar harapan.  Tidak perlu aku jelaskan kehidupan sebagai orang bujang kerana setiap orang melaluinya sebelum berkahwin. Bezanya sama ada ketika anda bujang anda adalah sandaran keluarga atau anda hanya hidup untuk diri anda sahaja.

Aku bersyukur kerana menjadi tempat sandaran keluarga kerana ia membuktikan keluarga percaya akan kemampuan aku. Tidak pernah aku menyesal meninggalkan sesuatu yang aku impikan hanya kerana seorang ibu. Yakin, rezeki aku tetap ada. Kini aku faham, apa maksud kata arwah Abah dulu. Saat dia terlantar di hospital dahulu, kami sering berbual diwaktu malam dikala giliran aku menjaganya setiap hujung minggu di hospital. Ya Allah, Kau tempatkanlah Abahku dikalangan mereka yang Engkau kasihi. Dia mengajar aku tentang hidup. Dia ajar aku bagaimana untuk terus berjuang dalam hidup. Dia mengajar aku apa itu kehidupan. Walaupun keluarga kami bukanlah dalam kategori keluarga miskin tetapi Abah tetap mengajar aku apa itu usaha. Ya, dari sekolah lagi aku di ajar mencari sesuatu apa yang aku mahu dengan usaha sendiri sedangkan dia mampu beri segalanya. Terima kasih kerana mengajar aku berdikari, mengajar aku berjuang untuk sesuatu. 

Bukanlah aku sempurna. Aku juga manusia biasa. Adakala aku tetap mengalirkan airmata juga. Cumanya, bukanlah dihadapan orang yang aku sayang. Jika aku menangis, hilanglah kekuatan mereka. Sedangkan aku mahu melihat mereka tersenyum kerana itulah kekuatan aku. 

Mulakan langkah di tahun baru dengan jiwa yang baru, azam dan matlamat yang baru. 

Okay, tidak perlu ayat yang berjela-jela lagi walaupun PRU bakal menjelma kerana ini bukan untuk merayu undi. Ini bukan manifesto mana-mana parti politik.