Tuesday, January 8, 2013

Buku Baru Bermula



Sudah masuk hari ke lapan 2013. Hari-hari yang sibuk. Awal tahun masa menutup segala akaun syarikat bermula. Waktu ini sangat memeningkan kepala. Diam tak diam tahun ini genap 10 tahun aku bekerja sebagai apa?..Aku pun tidak tahu apa jawatan aku yang sebenar. Cacamarba, segalanya aku buat tapi bukan bos, aku tetap seorang KULIKUTIF. Aku tidak kisah dengan apa yang telah aku lalui, syukur aku masih mempunyai pekerjaan jika mahu dibandingkan dengan orang lain yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan terpaksa merintih untuk sesuap nasi. 

Lebaran baru ini aku inginkan sesuatu yang baru. Aku inginkan tahun ini lebih baik dari tahun lalu. Masa mengumpul duit kembali. Bukan mata duitan tetapi siapa kita tanpa duit. Kuasanya sangat besar. Cumanya tidaklah sampai menjadi hamba duit. Sebagai orang bujang bukan bererti kita tidak memerlukan duit untuk kehidupan. Sesetengah orang memandang kehidupan sebagai orang bujang tidak memikul tanggungjawab yang banyak. Harus diingatkan, kami juga mempunyai kehidupan. Tiada bahu kedua untuk disandar harapan.  Tidak perlu aku jelaskan kehidupan sebagai orang bujang kerana setiap orang melaluinya sebelum berkahwin. Bezanya sama ada ketika anda bujang anda adalah sandaran keluarga atau anda hanya hidup untuk diri anda sahaja.

Aku bersyukur kerana menjadi tempat sandaran keluarga kerana ia membuktikan keluarga percaya akan kemampuan aku. Tidak pernah aku menyesal meninggalkan sesuatu yang aku impikan hanya kerana seorang ibu. Yakin, rezeki aku tetap ada. Kini aku faham, apa maksud kata arwah Abah dulu. Saat dia terlantar di hospital dahulu, kami sering berbual diwaktu malam dikala giliran aku menjaganya setiap hujung minggu di hospital. Ya Allah, Kau tempatkanlah Abahku dikalangan mereka yang Engkau kasihi. Dia mengajar aku tentang hidup. Dia ajar aku bagaimana untuk terus berjuang dalam hidup. Dia mengajar aku apa itu kehidupan. Walaupun keluarga kami bukanlah dalam kategori keluarga miskin tetapi Abah tetap mengajar aku apa itu usaha. Ya, dari sekolah lagi aku di ajar mencari sesuatu apa yang aku mahu dengan usaha sendiri sedangkan dia mampu beri segalanya. Terima kasih kerana mengajar aku berdikari, mengajar aku berjuang untuk sesuatu. 

Bukanlah aku sempurna. Aku juga manusia biasa. Adakala aku tetap mengalirkan airmata juga. Cumanya, bukanlah dihadapan orang yang aku sayang. Jika aku menangis, hilanglah kekuatan mereka. Sedangkan aku mahu melihat mereka tersenyum kerana itulah kekuatan aku. 

Mulakan langkah di tahun baru dengan jiwa yang baru, azam dan matlamat yang baru. 

Okay, tidak perlu ayat yang berjela-jela lagi walaupun PRU bakal menjelma kerana ini bukan untuk merayu undi. Ini bukan manifesto mana-mana parti politik.





1 comment:

L jea said...

Orang bujang...oh orang bujang....bukan dara pingitan ke?