Thursday, September 20, 2012

Bila Bercakap Lebih Mudah...


Bercakap itu lebih mudah dari melaksanakan. Hari ini aku teringat suatu masa dahulu ada seorang Hamba Allah pernah bertanya kepada aku, " Kenapa tidak berkahwin lagi?". Walaupun aku bukan berbicara bertentang mata dengannya tetapi aku tetap tersenyum dengan soalan itu. Kalau aku jawab, belum ada jodoh itu pasti sudah biasa kedengaran dimana-mana. Jawapan cliche sangat. Jadi pada hari itu aku jawab, "Saya ada tanggungjawab yang harus dipikul dan tugas itu belum selesai". Untuk makluman dia, aku beritahu aku menjaga ibuku. Dia beri pandangan seposennya, katanya kan lebih mudah jika sudah berumahtangga kerana akan ada orang lain yang sama jaga ibuku. Saat itu juga aku ajukan soalan padanya, "Awak yakin, ia sangat membantu?"..Diam tanpa menjawab soalan aku. Mengapa dia senyap tak berkata, sebab kala itu ibunya kurang sihat tetapi dia tidak mampu untuk menjaganya pun.

Bercakap memang mudah. Dari pandangan aku, dari pemerhatian aku juga, BUKAN SEMUA yang telah berkahwin mampu menjaga ibu bapa mereka sebaik mungkin. Maksud aku dari segi komitmen. Alasannya mudah kerana komitmen terhadap keluarga mereka pula. Kesudahannya yang bujang juga menjaga orang tua. Jadi dimana yang kata pasangan itu membantu menjaga orang tua kita?. Mungkin terjadi sebaliknya, kita pula jaga orang tua mereka. 

Jangan cepat menghukum orang lain. Jangan cepat menilai tanpa anda kenali dahulu orang yang anda nilai itu. Kalau anda rasa diri anda bagus sangat, tolong jangan cakap kosong sahaja. 

Salah ke hidup sendiri? Salah ke jika masih tidak berkahwin? Kalau masih belum jodohnya, siapa kita untuk mempersoalkannya. Segalanya telah tertulis. Tidak perlu nak meroyan kalau masih belum berkahwin. Tidak perlu juga menunjuk bahagianya anda hanya kerana baru berkahwin. Siapa juga tahu esok lusa anda kembali  bujang..tiada siapa yang tahu. 

Aku.. pedulilah kata orang. Bukan aku minta makan dari mereka. Aku bebas kemana-mana. Aku bebas untuk berbuat apa sahaja. Dan yang penting, aku ada sentiasa dengan ibuku. Jadi tidak perlulah aku bagi tanggungjawab menjaga ibuku kepada yang lain hanya kerana..ADA KOMITMEN yang lain. Clichenya jawapan.. Menjaga kedua orang tuamu itu adalah tanggungjawab sebagai anak walaupun kamu sudah bergelar ibu atau bapa. Bukan hanya menyerahkan bulat-bulat tanggungjawab itu kepada adik beradik yang masih bujang. Faham tu!!!.. Jadi, anak-anak yang soleh dan solehah pikullah tanggungjawab itu bukan hanya sekadar bijak berbicara.

Sentiasa mengingatkan diri sendiri, aku hanya ada seorang ibu. Aku bukanlah anak yang sangat baik dan sempurna kerana aku juga manusia biasa. Namun aku sering berharap, aku sentiasa diberi peluang untuk menjaganya selama-lamanya.



"hidup ini umpama roda..berputar dan berputar..diatas dan dibawah...namun tiada siapa juga yang tahu pahit manisnya melainkan roda itu sahaja"


Tuhan jagakan dia
Dia kekasihku, kan tetap milikku
Aku sungguh mencintai
Sungguh menyayangi setulus hatiku


Wednesday, September 5, 2012

Terlena

Terlena...
terlena... bukan kerana dalam pelukan...
terlena... bukan kerana dingin malam...
terlena... bukan kerana hangatnya diselimut gebar buruk
terlena... bukan kerana merdu suara yang mendodoikan

tapi ..terlena kerana alpa.


Friday, July 6, 2012

Cinta Setengah Mati




Wah!! tajuk gempak semacam. Tetapi tiada apa-apa cerita pun di sini. Tiada sesiapa juga yang mati.

Cuma nak bercerita, aku kerap kerja luar dan radio adalah peneman setia setiap jalan yang aku lalui.  Macam-macam lagu yang aku dengar. Jiwa aku selalunya lebih kepada lagu-lagu lama kerana indahnya bahasa yang tersusun rapi. Bahasa ringkas namun tetap puitis. 

Aku mahu cerita satu lagu yang aku dengar. Haha2..gelak dulu. Dalam leka memandu, tetiba cuping telinga menangkap senikata lagu ni "seribu kali ku mati ku rela untuk dirimu...sekali pun ku takut kan kehilanganmu".. Lagu apa ni? Terngiang-ngiang di kepala.. Seperti biasa aku memang ketinggalan tentang artis dan rujukan aku pastinya seseorang yang suka menyanyi.. Tetapi tetap tidak dapat jawapannya sehingga aku terlupa akan kisah bait-bait lagu tersebut.

Di hari lain, lagu ini sekali lagi aku dengar . Akhirnya pulang ke rumah seperti biasa aku google senikatanya. Oh! lagu Cinta Setengah Mati judulnya.. Jadi apa kaitannya dengan entri aku ini? Bila dengar lagu begini, orang nilaikan dengan istilah jiwang karat. Tetapi aku suka maksud disebaliknya.

Aku kongsikan bersama liriknya..

setiap hari ku bayangkan
setengah mati ku korbankan
apa pun akan ku lakukan
demi kamu (demi kamu)

setiap hari ku harapkan
setengah mati ku korbankan
apa pun akan ku berikan
demi kamu demi kamu

sya la la la lai la la la la lai
seribu kali ku mati ku rela tuk dirimu
sya la la la lai la la la la lai
sekali pun ku takut kan kehilanganmu

setiap hari ku bayangkan
setengah mati ku korbankan
apa pun akan ku lakukan
demi kamu demi kamu

Jadi apa ceritanya entri aku ini?.. Ambil yang positif. Beginilah pengorbanan ibu bapa kepada kita kan. Kalau kita rasa , telah buat segalanya untuk membalas jasa ibu bapa kita sekarang, aku rasa silap kerana sehingga mati pun belum tentu kita dapat membalasnya. Aku tidak suka lihat diri orang lain. Melihat diriku sahaja, aku tahu aku tak mampu membalas segala-galanya. Kalau mati dan hidup berkali-kali pun memang takkan mampu membalas jasa mereka. Abah adalah Hero dihatiku dan Mak adalah Super Mak yang mampu buat apa saja untukku. Ya, mereka lah sumber inspirasi aku, sumber kekuatan aku dalam mengharungi kehidupan. Disaat aku rebah, wajah mereka adalah pendorong untuk aku bangkit. Syahdu pula rasa dihatikan. Jangan sedih-sedih, teruskan hidup baik-baik.


Ok , Bagaimana pula dengan kisah lagu ini pada yang bercinta?. Ada sang Arjuna yang sanggup lakukan?..Sanggup ke hendak mati beribu kali? Terguris pisau sekali pun belum tentu sanggupkan. Masih wujudkah cinta yang sejati? Aku tidak punya jawapan. Kalian yang lalui pasti ada jawapannya... Kalau berkorban dan sanggup mati seribu kali pun.. jika orang yang disayang tiada rasa yang sama didalam hatinya..itu adalah sia-sia. Syukur dengan apa yang kita ada. Hargai mereka yang sudah tentu menyayangi kita tanpa sebab atau alasan..


Cinta dan sayang seadanya.. Jangan sampai membinasa..


( Simpang Mengayau, Kudat Sabah ~ 2010)

Monday, June 4, 2012

Aku Tukar Hinaan Dengan Ini...

 Prinsip hidup aku dari dulu, setiap kata hinaan orang itu aku satukan menjadi pembakar semangat. Terima kasih kepada yang menghina satu masa dulu kerana itulah penggerak untuk aku terus berjuang.

9 tahun, kalau boleh dilihat hati aku..rasanya dah takde hati dah. Makan hati dengan kata-kata sindiran orang. Ya, aku graduan yang duduk di kampung. Graduan yang telah lari jauh dari apa yang dia pelajari dahulu. Tidak perlu canang satu dunia apa masalah kita..Susah kita tiada siapa ambil tahu, jadi mengapa harus sibuk bila aku sedang nikmati hasil usaha aku.

Aku mampu dari dulu lagi TETAPI aku punya IMPIAN. Dan kerana itu aku sabar menanti. Ya, tidak mewah tetapi aku puas... Aku tak tahu kenapa?..Tapi dari aku sekolah dulu, aku memang ada impian untuk memiliki kereta  jenama ni. Andai arwah abah masih hidup, aku yakin dia akan geleng kepala melihat apa yang ada depan mata sekarang. Ya, aku sangat degil dan tidak pernah berubah fikiran.

Bulan Mei jadi saksi, akhirnya..ku sunting jua. Sah dia menjadi milikku.... Moga jodoh berkekalan hingga nafas yang terakhir...


Tuesday, May 8, 2012

5 Tahun RAMFC

Tahun ini genap 5 tahun bersama RAMFC. Ramlee Awang Murshid Fan Club telah mempunyai namanya sendiri. Aku sangat berbangga kerana menjadi generasi pertamanya. 5 tahun susah senang, tangis dan tawa sama-sama kami lalui. Sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula hubungan yang bernama persahabatan. Tiada janji manis mahupun habuan untuk melalui tempoh itu. Dia tahu, aku tahu dan kamu juga tahu apa yang berharga dan tidak dapat dijual beli dimana-mana akan nilai hubungan itu.

Pendapat kami selalu berbeza tetapi kami tetap mampu bersama.


Sudah menjadi tradisi, tahun ini Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012 menjadi saksi kembali. Sesibuk manapun jadual kerja aku, aku tetap akan hadirkan diri. Kali ini bukan sahaja Pelancaran Sunan Musafir novel karya Tn Ramlee Awang Murshid tetapi juga pelancaran novel Macedonia: Alexander Agung hasil karya Tn Web Sutera ( InsyaAllah akan aku ulas setelah usai membaca nanti).

Buku-buku pilihan aku


Siapa tidak bahagia andai punya teman yang baik belaka. Aku bangga kerana  punya sahabat sepertimu. Kamu tahu siapa diri kamu yang aku maksudkan. Terima kasih untuk kenangan terindah. Sungguh sampai bila-bila pun tidak akan aku lupakan. Semoga kita semua sentiasa dalam lindungan dan keberkatanNYA.


Aku bersama mereka yang bakal  membawa RAMFC maju kehadapan.

Kamu ada sahabat yang hebat begini? Saya ada... 

Ini sudah tidak tahu generasi yang ke berapa..dari generasi pertama hingga terkini sudah bersama-sama...senpai n kohai..juga sempoii...

Saturday, February 25, 2012

Matahari

Jadilah sepertinya,
Sinar cahaya kepada semua,
Sumber tenaga segala,
Paksi untuk semesta,
Sinarnya sampai walau dalam gelita..



Sebuah kumpulan cerpen dari Seorang penulis muda Tn Hilal Asyraf terbitan Galeri Ilmu. Terdapat 18 buah cerpen tentang cinta, persahabatan, kekeluargaan dan kehidupan berlandaskan Islam.

Saya sangat terkesan dengan buku ini. Setiap karya beliau sangat berbekas dihati. Sukar untuk saya luahkan tetapi..moga saya juga menemui jalanNYA.

Seperti kata Hilal Asyraf didalam apresiasinya.."sesungguhnya saya akan berasa rugi apabila orang membaca karya saya hanya untuk berseronok sahaja, tetapi tidak mengambil pengajaran dalam meningkatkan kualiti hidupnya"

Maka saya meneruskan hidup mencari keredhaanNYA... Moga saya belum terlewat...


Monday, February 20, 2012

Buat Yang Tersayang




Perkongsian novel pada kali ini, saya cadangkan kepada peminat novel cinta dapatkan karya dari penulis Maya Rasyidah terbitan Group Karangkraf ( Alaf 21)

Ini adalah bacaan santai saya. Pada saya buku ini tidak berat untuk ditafsir atau dihadam oleh minda. Sangat ringkas. Apa yang memikat hati saya tentang buku ini adalah penggunaan Bahasa Melayu Brunei. Bertambah lagi kosa kata dan juga dapat mengenali serba sedikit adat dan budaya Melayu Brunei. Mungkin agak sukar sedikit untuk memahaminya tetapi percayalah ia adalah sesuatu yang amat seronok jika kita mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi.

Satu yang saya sedikit tidak gemar, watak didalam novel ini digambarkan terlalu sempurna. Barangkali selepas ini ada yang kata saya seorang yang anti kepada kesempurnaan.

Itu pandangan saya dan pastinya citarasa setiap pembaca berbeza. Dapatkan naskhah anda dan selaminya...







" Cinta seringkali akan lari bila kita mencari...tetapi cinta juga seringkali dibiarkan bila ia menghampiri "