Tuesday, May 8, 2012

5 Tahun RAMFC

Tahun ini genap 5 tahun bersama RAMFC. Ramlee Awang Murshid Fan Club telah mempunyai namanya sendiri. Aku sangat berbangga kerana menjadi generasi pertamanya. 5 tahun susah senang, tangis dan tawa sama-sama kami lalui. Sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula hubungan yang bernama persahabatan. Tiada janji manis mahupun habuan untuk melalui tempoh itu. Dia tahu, aku tahu dan kamu juga tahu apa yang berharga dan tidak dapat dijual beli dimana-mana akan nilai hubungan itu.

Pendapat kami selalu berbeza tetapi kami tetap mampu bersama.


Sudah menjadi tradisi, tahun ini Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012 menjadi saksi kembali. Sesibuk manapun jadual kerja aku, aku tetap akan hadirkan diri. Kali ini bukan sahaja Pelancaran Sunan Musafir novel karya Tn Ramlee Awang Murshid tetapi juga pelancaran novel Macedonia: Alexander Agung hasil karya Tn Web Sutera ( InsyaAllah akan aku ulas setelah usai membaca nanti).

Buku-buku pilihan aku


Siapa tidak bahagia andai punya teman yang baik belaka. Aku bangga kerana  punya sahabat sepertimu. Kamu tahu siapa diri kamu yang aku maksudkan. Terima kasih untuk kenangan terindah. Sungguh sampai bila-bila pun tidak akan aku lupakan. Semoga kita semua sentiasa dalam lindungan dan keberkatanNYA.


Aku bersama mereka yang bakal  membawa RAMFC maju kehadapan.

Kamu ada sahabat yang hebat begini? Saya ada... 

Ini sudah tidak tahu generasi yang ke berapa..dari generasi pertama hingga terkini sudah bersama-sama...senpai n kohai..juga sempoii...

Saturday, February 25, 2012

Matahari

Jadilah sepertinya,
Sinar cahaya kepada semua,
Sumber tenaga segala,
Paksi untuk semesta,
Sinarnya sampai walau dalam gelita..



Sebuah kumpulan cerpen dari Seorang penulis muda Tn Hilal Asyraf terbitan Galeri Ilmu. Terdapat 18 buah cerpen tentang cinta, persahabatan, kekeluargaan dan kehidupan berlandaskan Islam.

Saya sangat terkesan dengan buku ini. Setiap karya beliau sangat berbekas dihati. Sukar untuk saya luahkan tetapi..moga saya juga menemui jalanNYA.

Seperti kata Hilal Asyraf didalam apresiasinya.."sesungguhnya saya akan berasa rugi apabila orang membaca karya saya hanya untuk berseronok sahaja, tetapi tidak mengambil pengajaran dalam meningkatkan kualiti hidupnya"

Maka saya meneruskan hidup mencari keredhaanNYA... Moga saya belum terlewat...


Monday, February 20, 2012

Buat Yang Tersayang




Perkongsian novel pada kali ini, saya cadangkan kepada peminat novel cinta dapatkan karya dari penulis Maya Rasyidah terbitan Group Karangkraf ( Alaf 21)

Ini adalah bacaan santai saya. Pada saya buku ini tidak berat untuk ditafsir atau dihadam oleh minda. Sangat ringkas. Apa yang memikat hati saya tentang buku ini adalah penggunaan Bahasa Melayu Brunei. Bertambah lagi kosa kata dan juga dapat mengenali serba sedikit adat dan budaya Melayu Brunei. Mungkin agak sukar sedikit untuk memahaminya tetapi percayalah ia adalah sesuatu yang amat seronok jika kita mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi.

Satu yang saya sedikit tidak gemar, watak didalam novel ini digambarkan terlalu sempurna. Barangkali selepas ini ada yang kata saya seorang yang anti kepada kesempurnaan.

Itu pandangan saya dan pastinya citarasa setiap pembaca berbeza. Dapatkan naskhah anda dan selaminya...







" Cinta seringkali akan lari bila kita mencari...tetapi cinta juga seringkali dibiarkan bila ia menghampiri "





Saturday, February 4, 2012

MaHaR SeTuLuS HaTi...






Buku ini saya perolehi di Karnival Karangkraf yang lalu. Sudah seminggu berlalu dan sudah selesai saya khatamkan. Baru sekarang ada kesempatan untuk diulas. Tidak usah meleret-leret terus kepada komen saya tentang novel ini.


Pada saya ia sebuah karya yang bukan berfantasi tetapi berpijak di bumi yang realiti. Kenapa saya kata begitu?. Kerana ia seimbang dan tidak berpura-pura. Setiap watak diolah tanpa prejudis. Ya, kesabaran setiap manusia itu ada batasnya dan kita bukan malaikat.


Cerita ini sarat dengan pengajaran dan peringatan. Pesanan saya bila membaca buku ini, jangan diambil manisnya sahaja tetapi pahitnya harus diambil sekali sebagai ubat..


Tahniah buat Kak Ayu Emelda..dan terima kasih novelnya. Teruskan berkarya, mudah-mudahan setiap tulisannya akan memberi manfaat kepada masyarakat...Semoga Allah SWT memudahkan segala urusan.






"Hati yang keras bisa tersentuh jua. Dalam mencari erti hidup, buku ini ada waktunya menjadi cermin. Ya, kita bukanlah manusia yang sempurna...dan aku bukanlah sesiapa..."




ku menatap dalam kelam
tiada yang bisa ku lihat
selain hanya nama-Mu Ya Allah

esok ataukah nanti
ampuni semua salahku
lindungi aku dari segala fitnah

kau tempatku meminta
kau beriku bahagia
jadikan aku selamanya
hamba-Mu yang slalu bertakwa

ampuniku Ya Allah
yang sering melupakan-Mu
saat Kau limpahkan kurnia-Mu
dalam sunyi aku bersujud..



Thursday, August 18, 2011

Cinta Aku Seadanya...


Jangan kau kata cinta ..Andai tak bisa membahagiakan... Sangat jelaskan maksud ayatnya?.. saya cerita sedikit tentang novel Cinta Aku Seadanya karya Murni Aqila terbitan Grupbuku Karangkraf (Alaf 21).




Ini sinopsis tentang novel tersebut.

ANDAI manusia bisa memilih, tidak mungkin ada yang mahu dilahirkan serba kekurangan, apatah lagi penuh kecelaan. Akan tetapi, mana mungkin itu terjadi. Kuasa ALLAH membataskan segalanya. Kerana itu, Syifa menerima segala ketentuan ILAHI dengan penuh redha. Dipujuknya hati setiap kali dicaci hanya kerana mempunyai tanda lahir di pipi. Apa pun bagi Nafisah, Syifa adalah anugerah istimewa dari TUHAN dengan kelebihan tersendiri hingga dia berhajat menyunting Syifa untuk dijadikan isteri buat anaknya, Muszahri. Dan Syifa, nyata terkejut dengan keputusan Muszahri yang sudi menerimanya.

Duka dan malang datang bertimpa. Entah apa silapnya, Muszahri langsung tidak menyentuhnya selepas mereka diijabkabulkan. Luna, gadis yang memuja Muszahri pula tidak jemu-jemu cuba meruntuhkan istana cintanya. Malah kakak kandungnya sendiri, Zahra sering mencurah bicara berbisa mencacinya. Syifa kelelahan. Kalau bahagia bukan tercipta untuknya, apalah daya. Mungkin itu sudah takdirnya... dipandang tanpa hati, mencintai tanpa dicintai.


**************************************************************************************************

Ini komen saya ..Moon baca betul-betul komen ini. Pertama, terima kasih atas kiriman novelnya. Siapa sangka cempedak jadi nangka, bulan jatuh ke riba.

Baiklah itu mukadimahnya sahaja. Ini yang betulnya. Moon, tahniah kerana tidak memeningkan pembaca. Bertepatan dengan tajuknya, begitulah akan jalan ceritanya. Cerita ini tidak terlalu berat. Jalannya sangat lurus, tiada bengkang bengkok. Sangat mudah untuk difahami. Moon, cumanya watak yang jahat itu, kalau boleh bagi jahat lagi agar ia berkesan. haha2.. tambah sedikit dengan kata-kata puitis yang membuai ke.. tapi jujurnya apa yang ingin disampaikan itu sangat jelas walaupun ia simple.Tidak mustahil Moon akan duduk sebaris dengan penulis yang sudah ada nama suatu masa nanti. InsyaAllah. Teruskan menulis, kerana tetap ada yang sudi membaca. Usah takut akan hasilnya tapi takut sebab terlepas peluang kerana tidak mencuba.

Untuk peminat novel, saya cadangkan anda cuba membaca novel ini. Tiada kisah yang meleret-leret dan masih menyentuh jiwa anda jika anda seorang manusia yang punya hati.

Ini coretan Moon dalam novel yang dikirimkan kepada saya, "Bila kita cinta seseorang kerana apa yang dia ada..kita takkan temui cinta sejati"...


Monday, August 15, 2011

10 TaHuN YaNg LaLu..

13 Ogos..10 tahun yang lalu, Sewaktu Azan Subuh baru kedengaran, aku terima satu panggilan telefon yang bukan sahaja membawa berita perginya seorang yang sangat aku sayangi tetapi membawa jiwaku pergi bersamanya juga. Aku tidak pernah sangka, tidak pernah terfikir malah sangat takut untuk aku fikirkannya. Walaupun ketika itu, aku cukup jelas dengan apa yang berlaku, tetapi semahunya aku menolak akan kenyataan itu. 10 tahun yang lalu, seorang lelaki yang sangat aku kasihi menanggung derita akan penyakit yang tidak pernah kami sangka ia akan dihidapi oleh salah seorang dari kami... Lelaki itu Abahku. Hampir 8 bulan dia bertarung dengan penyakitnya, tepat 13 Ogos dia menghembuskan nafasnya yang terakhir tanpa aku ada di sisinya. Apa perasaan aku?..sangat-sangat terkilan, sedangkan semalamnya aku bersamanya.

10 tahun yang lalu aku masih bergelar seorang mahasiswi. Perjalanan hidup aku saat itu sangat susah sebenarnya. Tiada seorang pun yang tahu melainkan seorang sahabat yang tahu apa yang aku tanggung. Selama 8 bulan Hospital itu adalah rumahku. Setiap minggu aku pulang ke Johor, tempat yang aku tuju adalah Hospital Batu Pahat. Poket aku? Sentiasa kosong..Yang ada cuma duit tambang untuk aku pulang ke kampung. Selain menjual burger di asrama tempat aku belajar, duit simpanan selama aku buat kerja sambilan seperti buat t-shirt telah habis aku gunakan. Ya, kalian harus percaya akan rezeki Allah. Hari ini kita bantu orang lain, esok-esok pasti akan tiba masa kita perlukan bantuan orang lain. Menitik airmata aku tatkala seorang teman membayarkan sewa rumah untuk diriku. Aku cukup malu menerimanya, hanya pujukan darinya aku menerima pertolongan itu, katanya kali ini sudah tiba masa dia membantuku kerana sebelum ini aku selalu tolong bayarkan sewa rumah untuk dia tatkala dia kesempitan duit. Aku tidak meminta balasan dari itu semua sahabat, bantuanku kepada mu dulu adalah ikhlas kerana didikan dari orang tuaku sentiasa terpahat di hati. Hidup jangan sombong, bantu orang yang perlukan kerana sampai waktu dan ketikanya roda itu berpusing..

Kanser...siapa sangka ia betul-betul wujud. Saat diberitahu itulah penyakit yang dihidapi Arwah Abahku, aku menerima berita itu seperti abahku hanya demam sahaja. Sekuat-kuatnya aku menolak kenyataan itu. Aku jadi seorang yang sangat positif. Pada aku, Abah aku akan sembuh seperti sedia kala. Hakikat akan kesudahan penyakit itu aku lontarkan jauh-jauh. Aku perlu kuat kerana Emak aku. Sangat sukar untuk aku luahkan betapa penyakit itu sangat menguji setiap ahli keluargaku. Aku yakin mereka yang sudah menempuhinya akan faham situasi itu. Andai setiap adik beradik tidak bersatu, boleh hilang arah juga dalam menempuhnya. Setiap seorang ada tugas masing-masing. Ujian bukan sahaja penyakit itu, tetapi kewangan juga adalah sangat menguji. Hanya Allah sahaja yang tahu ketika itu betapa peritnya kehidupan kami. Setiap sen sangat berharga. Namun aku bersyukur kerana kejadian itu ada hikmahnya. Aku belajar erti sayang, aku belajar akan erti kehidupan..

Aku tidak mahu lagi toleh kebelakang. Yang telah berlalu, biarkan ia berlalu. Kenangan yang tinggal sudah cukup untuk kami meneruskan kehidupan. Abah tetap dalam hati kami sehingga nafas kami yang terakhir. Terima kasih kerana menjadi Hero kami di saat kami perlukan, terima kasih kerana kasih sayang yang tidak berbelah bagi, terima kasih kerana menyediakan segalanya untuk kami. Semoga Abah, bersemadi aman damai di sana. Tunggu kami di sana...

Temanku sekalian, ini hanya sedikit kisah perjalanan hidupku. Belajar dari kisahku ini. Hargainya ibu bapa kita, sementara mereka masih ada. Saat kalian kehilangan mereka, dunia ini seakan terhenti dan gelap serta merta. Kenapa aku tinggalkan kota metropolitan itu?..kenapa aku tinggalkan kerja dan jawatan yang sangat baik itu?.. kerana di sana tiada ibuku..

Monday, June 27, 2011

Bersih...bersih..bersih..

Apa yang mahu dibersih? Bukan kempen BERSIH lah. Tetapi proses pembersihan sawang di blog aku ni. 24 jam semua orang dapat tetapi kenapa masih tidak cukup. Aku sangat kagum dengan Tuan Web Sutera ( sahabat RAMFC), bukan sekadar menjalankan perniagaan kateringnya sahaja malah sempat menulis blog serta sudah berjaya menghasilkan buku Buat Duit Dengan Katering. Yang terbaru sedang giat menulis manuskripnya Alexander Agung. Moga-moga tahun hadapan buku ini akan berada di pasaran. Saya sangat bangga dengan kejayaan beliau.

Tinggalkan kisah beliau itu. Kisah aku pula, sekarang ni. Macam banyak cerita tadi masa nak bersihkan blog. Bila mula menaip saja..hilang terbang ideanya. Sudah hampir menjengah bulan Julai. Pantas masa bergerak. Wah! tahun ni belum jalan-jalan cari makan lagilah. haha2.. Kemana nak pergi? Tiada idea sudah. Mood sekarang cuma pergi kedai buku, beli buku walaupun buku yang ada belum lagi habis dibaca. Jadinya bila sudah tiada idea ni, baik aku hadap buku yang dah menimbun minta di baca.. Kalau rajin esok-esok dan esok aku ulas novel yang aku baca. Boleh gitu?.. Bulih bah kalau ko..ikut keadaan bah..